Nota kepala: Ini sekadar bacaan ringan. Ayat-ayat yang dikarang kemungkinan tidak memenuhi tahap tatabahasa yang sempurna seperti skema karangan SPM. Apa pun, harap para pembaca enjoy dengan hasil penulisan Sang Pujangga dan mengambil sedikit sebanyak pengajaran yang terkandung di dalamnya. Sebarang kesilapan, harap dimaafkan. Selamat membaca!
Kadangkala Bukan Itu Yang Kita Mahukan Tapi Ia Tetap Berlaku Kepada Kita Bukan? - Bahagian 1
Rokinah (bukan nama sebenar) lebih suka menggayakan pakaian lelaki berbanding pakaian perempuan. Baginya, dia lebih selesa begitu. Ini kerana bentuk badannya yang tampak tegap dan besar berbanding bentuk badan perempuan yang seantero dengannya ditambah lagi dengan masalah kegempalan yang melanda dirinya. Bukan dia tidak mahu berpakaian seperti perempuan-perempuan lain. Tetapi, disebabkan kesukaran untuk membeli pakaian yang mampu memuatkan keseluruhan badannya tanpa menampakkan lebihan-lebihan lemak di bahagian perutnya, dia lebih selesa berpakaian lelaki yang baginya lebih selesa kerana longgar dan berjaya mengelakkan lebihan-lebihan lemak di bahagian perutnya kelihatan.
Pun begitu, dia tetap ingin kelihatan cantik seperti perempuan-perempuan lain. Bukannya dia tidak boleh jadi cantik. Lebih daripada boleh kerana dia mempunyai paras rupa yang agak comel dan keanak-anakkan juga tetapi, disebabkan cara pemakaiannya yang agak maskulin menyebabkannya hanya kelihatan ala-ala tomboi yang comel. Sehinggakan rakan-rakan di pejabatnya membuat permintaan untuk melihatnya berpakaian lebih feminin. Namun, dia hanya mampu memberi alasan bentuk badan yang besar membuatnya sukar untuk mendapatkan pakaian yang cantik.
Sebenarnya, dia sangat tidak berpuas hati dengan kebanyakan rekaan pakaian untuk para perempuan yang seantero dengannya kerana rekaannya yang ketat dan menampakkan bentuk badan. Dia faham bahawasanya kaum perempuan ini memang dikurniakan bentuk badan yang cantik (walaupun dirinya tidak). Tetapi, bukankah itu telah menyalahi hukum agama. Bukankah Islam mewajibkan para perempuan berpakaian longgar dan menutup aurat demi menjaga maruah diri? Adakah konsep ini tidak difahami oleh sesetengah pereka atau pun mereka sengaja tidak mahu memahami? Dia sebenarnya agak terkilan dengan isu ini. Mungkin kebanyakan pakaian direka untuk orang awam tanpa mengira bangsa dan agama. Jadi, siapa yang harus dipersalahkan dalam hal ini? Betul! Pembeli yang beragama Islam. Mereka seharusnya bijak dalam memilih pakaian. Itulah yang Rokinah cuba untuk praktikkan di dalam kehidupannya. Disebabkan tiada pakaian wanita yang memenuhi tuntutan agama iaitu LONGGAR dan MENUTUP AURAT, dia lebih rela berpakaian lelaki kerana ia lebih besar walaupun bersaiz M berbanding dengan pakaian wanita yang lebih kecil walaupun bersaiz L.
Pada suatu hari, dia melayari internet. Memang hobinya melayari internet. Laman sesawang yang selalu dilayari sudah tentu adalah Facebook (FB) selain daripada berblogging atau berblog-walking. Di saat dia menjengah profil rakan-rakannya di FB, dia ternampak nama seorang rakan kenalannya di FB ditag pada sebuah album seseorang. Dia mengklik album tersebut. Album itu mengandungi gambar-gambar tudung fesyen terkini yang baginya kelihatan agak menarik. Oh, rupa-rupanya album itu adalah milik seorang peniaga online. Tiba-tiba, terdetik di dalam hatinya untuk mencuba tudung tersebut lalu dia mengadd pemilik album itu dan membuat tempahan untuk mendapatkan tudung-tudung yang berkenan di hatinya. Fikirnya, pasti dia akan kelihatan cantik jika memakai tudung tersebut. Angan-angannya, tentu rakan-rakan pejabatnya akan memuji-muji kecantikannya.
Adakah Rokinah akan berjaya kelihatan cantik selepas ini? Adakah rakan-rakan pejabatnya akan memuji-muji kecantikannya? Apakah yang bakal berlaku seterusnya?
Terus setia bersama Sang Pujangga ok. Jangan lupa tinggalkan komen, pandangan atau cadangan untuk membuatkan cerita ini lebih menarik. Sertakan sekali alamat e-mail anda agar senang untuk Sang Pujangga menghubungi anda sekiranya perlu. Sebarang perkongsian cerita juga digalakkan kerana Sang Pujangga berhasrat untuk mengumpul bahan-bahan untuk hasil penulisan yang akan datang. Sang Pujangga akan meletakkan nama anda sebagai kredit dalam hasil penulisan yang mempunyai kisah anda. Mungkin suatu hari nanti anda akan mendapat hadiah misteri daripada Sang Pujangga. Siapa tahu?
Selamat membaca dan menambahkan ilmu. Selamat berjumpa lagi di lain waktu. =.)
Salam.

No comments:
Post a Comment